Ucapan

2:33 PM Edit This 0 Comments »
Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pembaca blog ini.
Kami juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Teacher Farizah dan Cikgu Munir yang telah banyak membantu kami berdua untuk membina blog ini.Tidak lupa juga kepada exxonmobil kerana telah menaja Bengkel Pembinaan Blog ini.

Dato' Haji Razali Bin Ismail

9:13 AM Edit This 0 Comments »






BELASUNGKAWA DATO’ HAJI RAZALI BIN ISMAIL (1949-2008)
PPAT KEHILANGAN
PEMIMPIN DISEGANI

Meskipun sedetik berlalu, pelbagai peristiwa yang mewarnai kehidupan manusia boleh berlaku. Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu (PPAT) khasnya, kehilangan seorang pemimpin dan tokoh akademik berwibawa serta disegani ramai kerana pengalaman dan idea bernas yang sering dilontarkan bagi melahirkan cerdik pandai. Sebelum menghembuskan nafas terakhir, Timbalan Pengerusi Dato’ Razali bin Ismail, 59 tahun tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda bahawa beliau sakit malah kelihatan sihat dan cergas. Berita kematiannya memang mengejutkan.

Allahyarham dilantik Timbalan Menteri Pelajaran pada 18 Mac 2008 merupakan Ahli Perlimen Kuala Terengganu meninggal dunia secara mengejut di Institut Aminuddin Baki (IAB), Genting Highlands pada 28 November 2008 ketika sedang bermain badminton kira-kira pukul 6.30 petang. Jenazahnya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Sheikh Ibrahim, Jalan Pusara, Kuala Terengganu.

Allahyarham yang dilahirkan di Kuala Berang pada 25 Jun 1949 mendapat Diploma Pendidikan dari Universiti Malaya tahun 1973 dan kemudiannya melanjutkan Ijazah Sarjana juga dalam bidang pendidikan di University of Birmingham tahun 1986 dan 1987.

Pengalaman sebagai seorang Pendidik, Pensyarah dan Pengarah Bahagian Pendidikan Guru, di Kementerian Pelajaran banyak membantu beliau menjadi seorang pemimpin yang boleh diterima oleh seluruh masyarakat. Beliau pernah memikul tanggungjawab sebagai Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sejak 2004.

Selaku Timbalan Pengerusi PPAT yang dilantik pada 7 Julai 2004, beliau telah bersama-sama membangunkan PPAT dalam mencetuskan tradisi keintelektualan dan budaya ilmu. Nilai tambah dalam bidang pembacaan termasuk infrastruktur perpustakaan samada di pihak pengguna mahupun warga kerja perpustakaan adalah penting dalam usaha melahirkan rakyat yang bestari dan kreafif. Program terakhir Allahyarham bersama PPAT ialah merasmikan Program Jerayawara Bulan Bahasa Dan Sastera Negara 2008 Peringkat Wilayah Timur pada 26 Oktober 2008 bertempat di Dewan Teater, Perpustakaan Awam Negeri Terengganu.

Personalitinya yang sederhana dan cukup mesra membuatkan Allahyarham mudah diterima oleh semua golongan masyarakat. Allahyarham meninggalkan balu To’ Puan Nooraini Lob Yusoff 51, dan lima orang cahaya mata iaitu Muhamad Nurazli 30, Pengurus di Sime Darby Bhd, Asrul Shah 27 bertugas sebagai Pegawai Tadbir Diplomatik, Khairul Amar 23, masih menuntut di Amerika Syarikat, Khairul Anwar menuntut di Universiti Selangor dan yang bongsu Khairul Arif 16, pelajarolah Menengah Agama Persekutuan Kajang, Selangor.


Semoga roh Allahyarham ditempatkan bersama orang yang soleh.

Pulau Pandan jauh ke tengah
Gunung Daik bercabang tiga
Hancur badan dikandung tanah
Budi yang baik dikenang juga.






PERGINYA SEORANG TOKOH TEATER

Datuk Haji Razali Ismail kini sudah pergi buat selama-lamanya. Ketika hayatnya, beliau dianggap sebagai tokoh teater yang mementingkan asas pendidikan. Teater yang dibawanya berbaur pendidikan dalam teater dan teater dalam pendidikan.

Sewaktu beliau menjadi Setiausaha Perkumpulan Teater Terengganu (KUMPUTER) selepas mengambil alih daripada saya, beliau menggagas manifestasinya. Melaui Manifestasi 111 pada 1981, beliau mengutarakan Teater Sebagai Media Pendidikan.

Kata beliau, ”Keterampilan teater dan apresiasi seni harus bermula dari zaman kanak-kanak menerusi pendidikan formal dan tidak formal”.

Ekoran itu, manifestasi tersebut menghasilkan resolusi supaya ”teater dan pendidikan kebudayaan” dijadikan isi kandungan dalam Sistem Pendidikan Kebangsaan. Hal tersebut merupakan satu ketetapan untuk merealisasikan Kurikulum Baru Sekolah Rendah.

Sewaktu berbual dengannya dua bulan sebelum beliau meninggal dunia pada Jumaat 28 November 2008 pukul 6.30 petang ketika bermain badminton di Institut Aminuddin Baki (IAB) Genting Highlands, beliau berhasrat untuk merealisasikan manifestasi dan resolusi 1981 itu dengan kapasitinya sebagai Timbalan Menteri Pelajaran.

Beliau juga mahu saya dan Majlis Teater Negeri Terengganu mengumpulkan sebanyak mungkin penggiat teater, terutamanya penggiat teater Terengganu pada akhir 2008. Kami bersetuju. Beliau telah memberikan sedikit peruntukan untuk menjayakan program yang amat diminati itu. Kami berasa kehidupan teater Terengganu lebih kukuh, bertambah kuat, bertenaga dan bersemangat ketika beliau menjadi Pengarah Pelajaran Terengganu hinggalah beliau menjadi Timbalan Menteri Pelajaran.

Ketika Persatuan Karya Negeri Terengganu (KARYA) meminta beliau merasmikan wacana teater: Pemikiran dalam Teks Drama Pentas Terengganu pada 28 April 2007 dan Majlis Pelancaran Pementasan Drama Janji Teja pada 19 Mei 2007, beliau amat bersungguh-sungguh untuk menghadirkan diri. Beliau datang dan memberikan ucapan yang kental dan bersemangat untuk orang-orang teater, orang sastera dan orang seni selain orang awam yang menghadiri majlis tersebut.

Teater sebagai satu media pendidikan tidak akan terlepas dalam setiap ucapannya mengenai teater. Dalam dua majlis itu juga disebutnya pada saya bahawa beliau sudah terdidik sebagai seorang pendidik. Daripada seorang guru, seorang pensyarah maktab, pengetua maktab, pengarah pelajaran, pengarah bahagian pendidikan di Kementerian Pelajaran sehinggalah menjadi Timbalan Menteri Pelajaran.

Perdana Menteri sewaktu memberikan ulasan dan pandangannya tentang kematian Datuk Razali itu ada menyebut, ”Saya menaruh harapan supaya suatu hari nanti Allahyarham menjadi Menteri Pelajaran”. Saya percaya itu.

Saya percaya kuasa Allah. Pada pilihanraya 2004, beliau menang Ahli Perlimen Kuala Terengganu. Ketika beliau datang ke rumah saya pada malam keesokannya selepas pengumuman kemenangannya sebagai Ahli Perlimen, saya nyatakan kepadanya, ”Li, kamu bakal menjadi setiausaha perlimen atau Timbalan Menteri Pelajaran”.

Beliau akur akan perkara itu kerana namanya disebut-sebut untuk menjawat jawatan tersebut. Namun dua minggu selepas itu beliau beritahu saya bahawa Menteri Besar memberitahunya, namanya digugurkan daripada senarai.

Akhirnya perbualan saya dengan beliau benar-benar terjadi apabila selepas menang Pilihanraya Umum ke-12 yang lalu, beliau dilantik menjadi Timbalan Menteri Pelajaran. Menerusi kejayaannya, kedudukan teater, seni dan sastera menjadi bertambah kukuh untuk direalisasikan di sekolah. Beliau ada memberitahu saya akan hal itu sewaktu saya berkunjung ke pejabatnya di Putrajaya seawal beliau menduduki kerusi Timbalan Menteri Pelajaran. Beliau meminta saya supaya mengajak kawan-kawan datang ke pejabatnya. Biliknya sentiasa terbuka. Saya gembira mendengarnya.

Saya gembira kerana beliau masih lagi rapat dengan saya walaupun agak renggang sedikit sewaktu timbulnya ”Revolusi Istana” dalam Perkumpulan Terengganu akibat anasir dan virus yang cuba menyingkir saya dari KUMPUTER.

Razali tahu akan kedudukan saya yang sebenarnya kerana kami sama-sama membangun seni dan sastera sewaktu bersekolah di Sekolah Menengah Sultan Sulaiman, Kuala Terengganu, sekitar tahun 1967-1968. beliau memang hebat di sekolah-mengarang dan mengarah drama sekolah. Drama karya dan arahan beliau yang terkenal ialah Pendekar Tempang. Malahan, beliau telah berjaya menghasilkan skrip drama yang cukup tinggi teks sasteranya berjudul Dunia Dua dan Escapesiem.

Selain itu, kami dan teman-teman lain berjaya membangunkan Kesusasteraan Melayu Terengganu (KESUMA) selepas tamat sekolah menengah pada 1968. Kemudian, kami menguasakan pementasan drama berjudul Di Manakah Ku Cari Ganti pada awal 1970 sebelum beliau menyambung pelajarannya ke Universiti Malaya. Sekembalinya beliau dari Universiti Malaya, kami menubuhkan KUMPUTER pada 25 Oktober 1974 bertempat di Pantai Motel, Kuala Terengganu.

Melalui KUMPUTER, kami megusahakan skrip berjudul Layang-Layang Terbang Melayang. Skrip itu terhasil di rumah saya di Kampung Padang Hiliran, Kuala Terengganu ketika kami masih bujang. Ketika saya menaip, beliau mencari idea, ketika beliau menaip, saya mencari idea, hingga terhasil skrip tersebut dan akhirnya dipentaskan pada Februari 1975.

Sewaktu dalam KUMPUTER, kami bersama-sama dengan Wan Hanafi Su dan Mohd. Ali Taha telah menghasilkan cerita pentas yang berunsur ritual. Antaranya ialah Selayut (karya Mohd. Ali Taha), Ancak (karya Wan Hanafi Su) dan Ambooiii (karya Wan Ahmad Ismail).

Melalui pengalaman tersebut, beliau berjaya menggarap drama berjudul Nyoyang. Nyoyang menjadi karya agung beliau kerana berjaya dipentaskan lebih 30 kali, termasuk di Taman Ismail Marzuki, Indonesia pada 13-14 Januari 1983.

Sebagai seorang yang mementingkan disiplin, arahannya terserlah menerusi Wau Bulan. Banyak penggemar teater yang menganggap teater arahannya cukup mantap dan berwibawa. Malahan lakonannya cukup hebat ketika berlakon seorang diri (monolog) sebagai Sang Pengarang melalui drama berjudul Kosong.

Karya beliau banyak berlatarkan kehidupan kampung, permainan rakyat dan persembahan tradisional dan ritual seperti drama Awak Dayung Mak Yong, Kain, Paku Siah Paku Kecundang, Rohaniku Bisu, Bisuku Rohani, Wau Bulan, Selayut dan banyak lagi.

Beliau meninggal dunia di gelanggang sukan dan bukan di pentas lakonan. Beliau meninggalkan kawan-kawan teater, meninggalkan isteri To’ Puan Nooraini Lob Yusoff dan lima orang anak yang setahu saya tidak seorang pun yang berminat dalam dunia seni sastera dan teater.

Banyak orang yang menganggap beliau satu-satunya warga pendidik yang amat prihatin terhadap dunia pendidikan. Beliau meninggalkan rakyat Kuala Terengganu yang beliau menjadi ahli parlimennya. Malahan semasa menjadi Timbalan Menteri Pelajaran, beliau mengambil berat akan kedudukan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Datuk Johan Jaafar melaui khidmat pesanan ringkasnya kepada saya menyatakan terima kasihnya kepada Datuk Razali kerana banyak membantunya di DBP. Selepas saya bersara, beliau mencadangkan kepada Kerajaan Negeri Terengganu dan Menteri Besar terdahulu supaya saya menduduki Akademi Seni Terengganu. Cadangannya tidak berjawab, bermakna kerajaan negeri menolaknya. Semuanya ketentuan Allah S.W.T.

Apa-apa pun, Datuk Razali Ismail meninggalkan kita dengan karyanya Ngoyang yang dianggap berhantu, di samping karya lain yang tidak kurang hebatnya. Beliau meninggalkan kesan ketika berlakon melalui drama Kosong dan memberikan input yang tajam ketika mengarah Wau Bulan. Beliau terjatuh ketika bermain badminton, bukan bermain drama.

DBP sepatutnya mengambil inisiatif untuk mengumpul dan mencetak kembali skrip drama pentasnya sebgai tanda ingatan kepada beliau.

Semoga rohnya dicucuri rahmat. Amin.


OLEH WAN AHMAD ISMAIL

ISTANA MAZIAH

9:04 AM Edit This 0 Comments »



Istana Maziah


Istana Maziah pada 1920-an.

Istana Maziah adalah lambang kemegahan institusi kesultanan Terengganu. Istana ini terletak berhampiran dengan Bukit Puteri, kira-kira 220 meter dengan gigi air sungai Kuala Terengganu. Di istana inilah upacara rasmi negeri diadakan seperti istiadat pertabalan dan kemahkotaan Sultan Terengganu, berkhatan, bertindik, perkahwinan dan sambutan tetamu utama negeri.
Setakat ini terdapat percanggahan mengenai tarikh pembinaan Istana Maziah. Mengikut catatan Engku Pengiran Anum, batu asas pembinaan istana ini dimulakan pada hari Jumaat, pukul 10:00 pagi, 31 Mei 1895 ( 7 Zulhijjah 1312 ) di masa pemerintahan Sultan Zainal Abidin III ( 1881-1918 ). Manakala catatan Dato’ Seri Amar Diraja Haji Ngah Muhammad bin Yusof pula, istana ini dibina pada tahun 1897.
Istana Maziah dibina untuk menggantikan Istana Hijau yang telah hangus terbakar. Istana Hijau dibina pada masa pemerintahan Sultan Omar ( Baginda Omar ) pada 10 Mac 1870 ( 7 Zulhijjah 1286 ). Tokoh yang diberi tanggungjawab sebagai pengurus pembinaan dan jurutera Istana Maziah ialah Tengku Chik Abu Bakar bin Tengku Abdul Jalil.
Dia adalah saudara ipar kepada Sultan Zainal Abidin III. Selain daripada itu terdapat beberapa tokoh lagi yang turut sama menyumbang dalam pembinaan istana ini. Mereka yang bertanggungjawab menyiapkan pelan dan binaan istana serta menghias bahagian dalaman istana ialah Engku Besar Paduka Raja Sayyid Abdullah bin Zin Al-Idrus, Encik Muhammad bin Abdul Rahim ( lebih dikenali dengan nama Encik Mat ) dan juga Dato’ Mata-Mata. Di samping itu tugas mendapatkan kayu, kebanyakannya dari Dungun diuruskan oleh Tengku Panglima Besar Tengku Muda Kechik. Manakala pengurusan batu bata dan kapur pula diserahkan kepada Tengku Besar Paduka Indera. Bahan yang digunakan dalam pembinaan istana ini terdiri daripada campuran kapur, tanah liat, pasir garam, putih telur dan manisan.


Istana Maziah sekarang.

Kira-kira 20 orang tukang Melayu dan Cina terlibat dalam pembinaan Istana Maziah. Masalah kewangan pada masa itu telah menyebabkan pembinaan istana ini tertangguh. Walaupun begitu, istana ini telah siap dan upacara " naik istana " diadakan pada 7 Ogos 1903 ( 14 Jamadil Awal 1312 ). Tidak berapa lama selepas Istana Maziah siap, Tengku Embong Musa, Ketua Jabatan Kerja Raya menambah lantai di bahagian anjung istana tersebut.
Pada ketika itu di bawah anjung Istana boleh dilalui kereta. Ketika pemerintahan Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah ( 1920 – 1942 ), layang-layang anak tangga dipinda. Seterusnya pindaan dilakukan lagi di masa pemerintahan Sultan Ismail Nasiruddin Shah ( 1945 – 1979 ). Bilik di tingkat bawah terletak Singgahsana di sebelah matahari naik telah dibuang pintunya supaya ia bertambah luas. Dengan itu, Singgahsana dipindahkan ke tingkat atas. Pada tahun 1954, dibina pula layang-layang tangga hadapan di sebelah matahari jatuh.
Selain itu, bilik di tingkat atas sebelah matahari naik telah dirobohkan untuk ditempatkan Singgahsana. Pada tahun 1972, sebuah bangunan tambahan dibina di bahagian rusuk sebelah barat. Seterusnya Singgahsana pula ditempatkan di tingkat atas bangunan baru Istana Maziah ini.Pada tahun 1998, satu tambahan baru telah dibina di bahagian hadapan istana ini.

Pulau Perhentian (seluas mata memandang)

4:15 PM Edit This 0 Comments »


PULAU PERHENTIAN PANTAINYA PUTIH LAUTNYA BIRU

Suatu waktu dahulu ia hanya dikenali sebagai tempat persinggahan dan perlindungan bagi nelayan ketika rebut, tetapi hari ini ia muncul sebagai salah sebuah pulau pelancongan yang tercantik di negara ini. Itulah Pulau Perhentian-pulau damai yang masih terpelihara keindahan semulajadinya.

Pulau ini terletak kira-kira 20km dari pantai Besut, Terengganu. Perjalanan dari Kuala Besut ke pulau ini mengambil masa kira-kira 1 jam 45 minit. Pulau ini terbahagi kepada dua-Pulau Perhentian Kecil dan Pulau Perhentian Besar atau lebih dikenali sebagai Pulau Perhentian sahaja. Kedua-dua pulau ini dipisahkan oleh selat kecil selebar setengah kilometer. Pulau Perhentian Kecil merupakan perkampungan nelayan yang lengkap dengan pelbagai kemudahan asasnya.

Deretan pohon kelapa, pantai berpasir putih dan laut biru yang tenang, dapat menambat hati setiap pengunjung dan pencinta alam yang datang ke sini. Pulau Perhentian diindahkan dengan pantainya yang berteluk cetek dan berbatu cantik, sesuai untuk mandi-manda. Di sepanjang pantai dapat melihat pelbagai jenis dan bentuk batu karang serta moluska laut seperti siput, tiram dan tumbuhan laut yang jarang ditemui di pantai-pantai biasa. Bagaimanapun, pengunjung-pengunjung dilarang keras memungut sebarang jenis hidupan laut ini, kerana pulau ini dilindungi di bawah Jabatan Perikanan dan Kementerian Alam Sekitar.

Bagi anda yang minat memancing boleh memancing di sepanjang pantai dan teluk di pulau ini. Jika anda bercadang mengelilingi pulau sambil memancing, bot boleh disewa dengan kadar RM20-RM50 bagi satu kumpulan berjumlah antara 5 hingga 20 orang.

Kalaulah ditakdirkan bekalan makanan anda bawa habis, usahlah bimbang. Di sini terdapat beberapa buah restoran mini. Makanan lautnya pelbagai, segar dan harganya sederhana.

Anda juga mungkin berpeluang menikmati pengalaman ke laut bersama-sama dengan nelayan yang singgah di situ. Jika bernasib baik dan tepat pada musimnya, anda berpeluang melihat penyu bertelur di pantai pulau ini.

Jika anda bercadang berkunjung atau bercuti ke pulau ini, bolehlah menghubungu Pejabat Daerah Besut untuk urusan bot dan pengangkutan dan tempahan chalet.

Chalet-chalet itu mempunyai bekalan air dan elektrik di samping peralatan dapur untuk kemudahan mereka yang bercadang bermalam. Kadar sewanya sederhana antara RM10 hingga RM20 satu hari. Anda juga boleh berkhemah (camping) di sepanjang pantai pulau ini.

OLEH ROZAMAN ISMAIL RAMONAS

SEJARAH PULAU PERHENTIAN...

Pembukaan dan Penempatan Awal di Pulau Perhentian

Pulau Perhentian mula didiami pada penghujung abad ke 18. Tempat yang mula-mula dibuka dan didiami ialah Teluk Dalam, di sekitar sebatang alur air payau yang cetek yang dikenali sebagai Alur Cina. Orang yang paling awal mendudukinya ialah Batin Mina dan keluarganya. Beliaulah orang yang bertanggungjawab menjadikan Pulau Perhentian sebagai satu petempatan.

Asal Penduduk Pulau Perhentian
Orang yang pertama menduduki Pulau Perhentian dipercayai berasal dari Kepulauan Riau, iaitu jajahan takluk Johor-Riau pada masa itu. Batin Mina dan keluarganya datang ke Pulau Perhentian dengan menumpang kapal-kapal dagang China yang berulang alik dari China ke Asia Tenggara. Beliau telah melarikan diri dari buruan Belanda kerana telah bertindak menentang penjajahan dengan cara merompak dan mengugut kapal-kapal dagang barat. Keturunan beliaulah yang terus mendiami Pulau Perhentian serta beberapa keluarga yang berasal dari Tanah Besar Semenanjung.


Bagaimana Pulau Perhentian Mendapat Nama

Pulau ini pada awalnya tidak mempunyai nama yang khusus. Ianya dijadikan tempat persinggahan bagi kapal-kapal dagang yang berulang alik dari China ke Asia Tenggara seperti Singapura, Jawa dan beberapa tempat di Semenanjung Tanah Melayu. Di pulau ini juga dijadikan tempat persinggahan kapal-kapal garam dari Singgora (Selatan Thai), untuk menghantar garam ke Kuala Terengganu. Oleh kerana pulau ini sering dijadikan tempat persinggahan bagi kapal-kapal yang dalam pelayaran, ianya telah dinamakan sebagai Pulau Perhentian. Iaitu pulau tempat kapal-kapal singgah atau berhenti seketika sebelum meneruskan pelayaran. Sehingga sekarang pulau ini masih lagi dijadikan tempat berlindung bagi kapal-kapal dari angin kencang dan ombak besar.


Pentadbiran Pulau Dan Hubungan Dengan Pemerintah Negeri
Pulau Perhentian pada masa dahulu ditadbir oleh seorang ketua yang dikenali dengan panggilan Batin. Beliaulah orang yang bertanggungjawab terhadap kebajikan dan keselamatan orang-orang di bawah kawalannya. Batin pada masa itu adalah merupakan seorang pendekar yang terbilang dan juga seorang bomoh yang handal serta mempunyai ilmu kebatinan yang tinggi.
Batin Mina merupakan orang yang pertama menduduki dan mentadbir Pulau Perhentian. Pada zamannya teraju pentadbirannya terletak di Teluk Dalam iaitu Pulau Perhentian Besar. Pentadbirannya dibantu oleh seorang panglima yang dikenali sebagai Panglima Dayak. Batin dengan dibantu oleh panglimanya yang bertanggungjawab bagi memastikan keamanan dan kestabilan persekitaran pulau.
Selepas kematian Batin Mina, teraju pemerintahan pulau diambil alih pula oleh adiknya iaitu Batin Jamal. Tidak lama selepas kematian Batin Mina, mereka yang tinggal di perkampungan Teluk Dalam Pulau Perhentian Besar sudah tidak tenteram lagi. Keadaan ini terjadi kerana adanya gangguan dari makhluk-makhluk halus, yang dikatakan sebelumnya dapat dikawal oleh Batin Mina. Keadaan menjadi bertambah buruk lagi apabila tanaman tidak menjadi kerana dirosakkan oleh lutong (sejenis monyet) dan tikus. Oleh kerana keadaan sudah tidak terkawal lagi, Batin Jamal pentadbir pulau pada masa itu mengambil keputusan untuk berpindah.
Batin Jamal dan semua penduduk Pulau Perhentian pada masa itu telah berpindah ke Negeri Sanyanya dan membuka penempatan di situ. Negeri Sanyanya ialah Kuala Besut sekarang ini. Di Negeri Sanyanya (Kuala Besut), Batin Jamal membuka perkampungan baru. Setelah tinggal beberapa lama di Negeri Sanyanya (Kuala Besut), Batin Jamal dan orang-orangnya teringin untuk kembali ke Pulau Perhentian. Setelah mengadakan perbincangan dengan semua orang-orangnya, Batin Jamal mengambil keputusan untuk kembali ke Pulau Perhentian. Sekembalinya dari Negeri Sanyanya (Kuala Besut), mereka tidak lagi tinggal di Teluk Dalam tetapi menduduki Pasir Hantu (penempatan sekarang) di Pulau Perhentian Kecil.
Selepas kematian Batin Jamal, pentadbiran Pulau Perhentian diambil alih pula oleh Batin Deris. Pentadbiran Batin Deris dibantu oleh seorang panglima yang dikenali sebagai Panglima Ebet. Batin Deris dan panglimanya bertanggungjawab terhadap soal-soal kebajikan dan keselamatan orang-orangnya. Selepas kematian Batin Deris, warisan kebatinan diambil alih pula oleh Batin Saman, selepas kematian Batin Saman ianya diambil alih pula oleh Batin Yahya. Kemudian, selepas Batin Yahya meninggal dunia ianya diteruskan pula oleh Batin Talib dengan dibantu oleh panglimanyayang bergelar Panglima Kecik atau dikenali juga dengan panggilan Tok Deramat. Pada zaman Batin Taliblah, penduduk Pulau Perhentian dapat disatukan di satu tempat iaitu penempatan sekarang ini. Batin Talib telah berjaya mengumpulkan semua penduduk Pulau Perhentian di satu kawasan penempatan di sekitar awal abad ke 20. Selepas Batin Talib meninggal dunia, pentadbiran Pulau Perhentian diteruskan lagi oleh Batin Sidek. Batin Sidek merupakan batin yang terakhir sekali dalam warisan kebatinan yang mentadbir Pulau Perhentian. Beliau meninggal dunia pada awal tahun 1990. Selepas kematiannya tidak ada lagi warisan kebatinan yang menjadi ketua penduduk Pulau Perhentian. Ianya telah diganti dengan seorang Ketua Kampung.

Batin Pulau Perhentian mempunyai hubungan istimewa dengan pemerintah negeri iaitu Baginda Al-Sultan Terengganu. Kisah perhubungan ini dikatakan bermula pada zaman Batin Mina lagi sehinggalah kepada batin-batin selepasnya. Hubungan dikatakan bermula apabila Batin Mina berkeupayaan mengubat penyakit yang dihidapi oleh baginda Sultan Terengganu.

Mengikut cerita, pada zaman pemerintahan ayahanda kepada Sultan Sulaiman telah terjalin hubungan antara Batin Mina dengan baginda Al-Sultan Terengganu yang memerintah. Sejarah hubungan istimewa dikatakan bermula apabila Almarhum Sultan yang memerintah ketika itu ingin menduga kepandaian dan kehandalan bomoh dalam negeri dan jajahan takluk baginda. Cara baginda menguji kepandaian bomoh ialah baginda pura-pura sakit.
Apabila baginda sakit seluruh negeri dikhabarkan berita itu. Semua bomoh-bomoh dan dukun-dukun yang handal dipanggil untuk mengubati baginda. Walaupun semua bomoh-bomoh dan dukun-dukun yang handal datang mengubati baginda namun penyakit baginda tidak juga sembuh. Semua bomoh dan dukun yang datang tidak tahu penyakit yang dihidapi oleh baginda.
Berita tentang Al-Sultan Terengganu yang sedang gering itu sampai ke pengetahuan Tengku Chik, Raja yang memerintah Besut pada masa itu. Tengku Chik menyembahkan kepada Al-Sultan Terengganu tentang adanya seorang bomoh yang handal di Pulau Perhentian. Apabila berita itu sampai ke pengetahuan baginda, lalu baginda menitahkan supaya bomoh dipanggil untuk datang ke Kuala Terengganu dan mengubati baginda. Setelah dititahkan oleh Sultan Terengganu supaya datang mengadap, Batin Mina iaitu bomoh yang dimaksudkan oleh Tengku Chik mula bersiap-siap untuk memulakan pelayaran ke Kuala Terengganu.
Batin Mina memulakan pelayaran ke Kuala Terengganu dengan menggunakan sebuah perahu kecil yang diperbuat daripada batang kayu dan layarnya diperbuat daripada sebidang tikar. Pada masa itu ialah musim tengkujuh. Batin Mina belayar seorang diri mengharungi gelora musim tengkujuh untuk ke Kuala Terengganu semata-mata untuk mengubati Baginda Al-Sultan. Setelah sampai di Kuala Sungai Terengganu dan mendarat di jeti tidak jauh dari Istana Maziah, beliau disambut oleh seorang wakil Al-Sultan yang dikenali dengan nama Pak Bian. Kedatangan Batin Mina memang ditunggu-tunggu oleh pihak istana.
Mengikut cerita perahu kecil yang berlayarkan tikar yang dinaiki oleh Batin Mina mempunyai keanehan dan luar biasa pada pandangan orang ramai. Perahu kecil yang diperbuat daripada sebatang kayu dan menggunakan layar sebidang tikar itu dilihat oleh orang ramai yang menunggu ketibaannya bagaikan sebuah kapal yang besar dan dinaiki oleh berpuluh-puluh orang. Tetapi setelah ianya semakin hampir dengan pantai ianya dilihat semakin kecil dan akhirnya ianya adalah sebuah perahu layar yang kecil sahaja.
Batin Mina masuk ke dalam istana dan diberi santapan Diraja. Setelah berehat seketika, Batin Mina dititahkan mengadap Duli Yang Maha Mulia Sultan untuk melihat penyakit yang dihidapi oleh Baginda. Setelah masuk mengadap, Batin Mina mempersembahkan kepada Duli Yang Mulia Sultan bahawa Baginda sebenarnya tidak sakit. Ia sudah mengetahui bahawa Baginda Al-Sultan sekadar ingin menguji kepandaian dan kehandalan bomoh yang ada di serata negeri. Setelah Al-Sultan mengetahui bahawa Batin Mina sudah mengetahui bahawa Baginda tidak sakit, Baginda pun terus bangkit dari tempat peraduan dan segera menghampiri Batin Mina. Baginda Al-Sultan mengakui kehandalan Batin Mina sebagai seorang bomoh.
Sejak peristiwa itulah, batin-batin yang tinggal di Pulau Perhentian mendapat layanan istimewa daripada Baginda Al-Sultan Terengganu. Mengikut cerita Baginda Al-Sultan berjanji akan memberi layanan istimewa kepada Batin Mina dan anak cucunya yang tinggal di Pulau Perhentian. Mulai dari peristiwa itu jugalah Duli Yang Maha Mulia Sultan-Sultan yang seterusnya dikatakan tetap menghormati Batin-Batin Pulau Perhentian dan sering juga mengunjungi Pulau Perhentian.


Almarhum Duli Yang Maha Mulia Sultan Sulaiman, Almarhum Duli Yang Maha Mulia Sultan Zainal Abidin 11, Almarhum Duli Yang Maha Mulia Sultan Ismail Nasiruddin Shah dan Duli Yang Maha Mulia Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah juga sering mengunjungi Pulau Perhentian. Mengikut cerita setiap kunjungan Duli-Duli Yang Maha Mulia Al-Sultan akan disambut dengan upacara penuh istiadat mengikut tradisi. Segala tradisi ini berterusan sehinggalah kepada Batin yang terakhir iaitu Batin Sidek. Kawasan perairan Pulau Perhentian dan sekitarnya diletakkan di bawah kawalan Batin-Batin sehinggalah sampai ke zaman pemerintahan Inggeris. Ianya bermula dari zaman Batin Mina lagi. Selepas kematian Batin Sidek, tidak ada lagi warisan kebatinan yang mengepalai penduduk Pulau Perhentian. Ianya telah diganti dengan seorang Ketua Kampung yang dilantik oleh masyarakat. Bermula pada tahun 1990, seorang Ketua Kampung mengetuai penduduk Pulau Perhentian.

Kegiatan Sosioekonomi Penduduk Pulau Perhentian Di Awal Penempatan
Diawal penempatan penduduk Pulau Perhentian bekerja sebagai petani dan nelayan saradiri. Penduduknya bercucuk tanam seperti padi dan ubi kayu untuk keperluan keluarga. Padi ditanam di satu kawasan rendah di kaki bukit kawasan penempatan di Teluk Dalam, Pulau Perhentian Besar. Selain daripada padi, ubi kayu juga ditanam untuk keperluan sementara menunggu padi mengeluarkan hasilnya.
Sebagai sumber protein, penduduk Pulau Perhentian pada masa itu menangkap ikan dengan menggunakan pancing di sekitar perairan Pulau Perhentian. Mereka pergi memancing dengan menaiki perahu-perahu kecil yang diperbuat daripada batang-batang kayu yang ditebuk. Segala hasil tangkapan hanya cukup untuk keperluan keluarga mereka.
Bekalan makanan seperti beras sebenarnya tidak mencukupi untuk menampung jumlah penduduk yang semakin bertambah pada masa itu. Batin Mina ketua bagi penduduk Pulau Perhentian pada masa itu telah mengena syarat kepada kapal-kapal dagang Cina yang berlabuh di perairan Pulau Perhentian. Setiap kapal yang berlabuh dan berlindung di Pulau Perhentian dikenakan cukai dalam bentuk makanan dan pakaian. Pada masa itu kapal-kapal dagang Cina yang berlabuh itu dikenali sebagai 'wakam' oleh penduduk kampung. Ianya adalah sejenis kapal layar yang besar yang lebih dikenali sebagai tongkang. Jika mereka enggan membayar cukai, tindakan akan diambil. Barang-barang mereka akan dirampas dan tidak dibenarkan berlabuh di sekitar perairan pulau. Jika sekiranya penguasa pulau pada masa itu iaitu Batin Mina dan pembantu-pembantunya gagal mendekati kapal-kapal itu, tindakan lain akan diambil. Mengikut cerita, pernah terjadi kapal-kapal dagang Cina itu dihalang pelayaran mereka dengan membina beting pasir di tengah laut bagi tujuan menyekat pelayaran kapal tersebut. Pembinaan beting pasir itu dikatakan dibina dengan menggunakan ilmu kebatinan oleh Batin Mina. Setelah pelayaran kapal itu tersekat, pedagang-pedagang itu terpaksa tunduk dan membayar cukai kepada Batin Mina.

Bagaimana Penempatan Sekarang Di Buka
Penempatan sekarang asalnya satu kawasan yang dipenuhi dengan lalang dan semak samun. Di persisiran pantainya adalah hamparan pasir yang memutih. Setelah Pulau Perhentian ditinggalkan sekian lama oleh Batin Jamal dan orang-orangnya dan kemudian kembali semula ke Pulau Perhentian, mereka tidak kembali menetap di Teluk Dalam. Apabila kembali semula ke Pulau Perhentian dari Kuala Besut (Negeri Sanyanya), mereka telah membuka satu kawasan penempatan yang baru. Tempatnya ialah Pasir Hantu iaitu penempatan sekarang.
Pada masa dahulu, sebelum ianya dibuka oleh Batin Jamal, tempat ini adalah kawasan yang ditakuti oleh penduduk Pulau Perhentian kerana ianya dikatakan berhantu. Oleh kerana itulah tempat ini dinamakan Pasir Hantu. Mengikut cerita, sebelum ianya dibuka, orang kampung takut mendekati kawasan ini sewaktu mereka memancing di laut. Ini adalah kerana ada semacam orang yang melambai-lambai di tepi pantai, pada hal pada masa itu masih belum ada penghuni lagi di Pulau Perhentian Kecil. Oleh kerana itulah tempat ini dinamakan Pasir Hantu. Setelah ianya dibuka oleh Batin Jamal, masalah itu dikatakan dapat diatasi dan ketakutan penduduk pun hilang.
Sebenarnya, apabila Batin Jamal dan orang-orangnya kembali dari Kuala Besut (Negeri Sanyanya), tidak semua mereka yang kembali itu tinggal di Pasir Hantu, Pulau Perhentian Kecil. Ada di antara mereka yang tinggal di Pulau Perhentian Besar tetapi tidak di Teluk Dalam. Ada di antara mereka itu menduduki dan menetap di Seberang Air Keruh, Seberang Mat Daham, Batu Jong dan Teluk Pauh. Semuanya di Pulau Perhentian Besar dan merupakan tempat peranginan dan perkelahan yang menarik pada masa ini.
Selain daripada itu, ada juga yang mendiami Pasir Petani di Pulau Perhentian Kecil. Dari kajian dan cerita yang diperkatakan oleh pencerita, penempatan pada masa dulu adalah berselerah di beberapa tempat di sekitar Pulau Perhentian Kecil dan Pulau Perhentian Besar. Tetapi penduduk Pulau Perhentian takut untuk kembali ke Teluk Dalam kerana tempat itu dikatakan berhantu dan tidak sesuai untuk didiami.
Penduduk Pulau Perhentian menetap di satu tempat di sekitar awal abad ke 20 iaitu pada zaman pemerintahan Inggeris. Orang yang bertanggungjawab menyatukan dan mengumpulkan semua penduduk Pulau Perhentian di satu kawasan penempatan ialah Batin Talib. Semua penduduk Pulau Perhentian, tidak kira sama ada di Pulau Perhentian Besar atau Pulau Perhentian Kecil menetap di satu penempatan sahaja iaitu di Pasir Hantu iaitu penempatan sekarang. Semenjak semua penduduk Pulau Perhentian menetap di satu penempatan tidak ada lagi penduduk di sini yang tinggal berselerak di merata-rata Pulau Perhentian. Penempatan sekarang di bawah pentadbiran enam orang batin, yang bermula dari Batin Jamal hinggalah batin yang terakhir sekali iaitu Batin Sidek. Sehinggalah sekarang ini, penduduk Pulau Perhentian tinggal di satu tempat dan segala kemudahan asas senang disalurkan kepada semua penduduk.

Pulau Perhentian Semasa Jepun

Semasa Jepun melanggar Tanah Melayu dalam perang dunia kedua iaitu di sekitar 1941 hingga tahun 1945, Pulau Perhentian tidak ketinggalan dari terasa bahangnya. Pulau Perhentian dijadikan pelabuhan tempat persinggahan sementara tentera Jepun untuk menyerang lain-lain tempat di Tanah Melayu dan Asia Tenggara. Kapal-kapal tentera Jepun berlabuh dan berkubu sementara di Pulau Perhentian.

Tentera Jepun bertindak merampas makanan dan ternakan daripada orang-orang kampung. Penduduk menjadi ketakutan, terutama sekali golongan muda. Ini adalah kerana tentera Jepun bertindak cuba menangkap tenaga-tenaga muda ini untuk dijadikan buruh keretapi maut di Burma. Bagi mengelakkan diri dari tertangkap, mereka melarikan diri ke atas bukit dan memasuki hutan Pulau Perhentian. Penduduk kampung yang lari terpaksa bermalam di dalam hutan dan mendapat bekalan makanan daripada golongan tua yang masih tinggal di rumah masing-masing secara sembunyi-sembunyi. Sebenarnya bukan sahaja golongan muda lelaki sahaja yang melarikan diri tetapi juga golongan wanita kerana takut akan kekejaman tentera Jepun.

Kesengsaraan pada zaman Jepun turut dirasakan oleh penduduk Pulau Perhentian sepertimana yang dirasakan oleh penduduk Tanah Besar Semenanjung. Semua ternakan dan makanan yang tidak sempat disembunyikan dirampas oleh tentera Jepun dan sesiapa yang cuba melawan akan diseksa dan dibunuh oleh mereka. Penduduk kampung yang bersembunyi keluar dari tempat persembunyian apabila Jepun mengaku kalah dalam tahun 1945. Setelah Jepun mengaku kalah baharulah orang-orang kampung menjalani kehidupan seperti biasa sama seperti sebelum pendudukan tentera Jepun.


Lagenda Di Pulau Perhentian ...

Batin Mina
Batin Mina merupakan orang yang pertama membuka satu kawasan penempatan di Pulau Perhentian. Beliau dikatakan berasal dari Johor-Riau. Oleh kerana adanya campurtangan Inggeris dan Belanda di situ, beliau telah bertindak menentang campurtangan itu. Pada masa itu, Belanda menguasai kepulauan Indonesia dan Inggeris menguasai Tanah Melayu. Beliau dikatakan begitu marah dengan campurtangan itu dan bertindak menentang dasar itu. Beliau dikatakan bersama orang-orangnya telah bertindak menyerang kapal-kapal dagang Inggeris dan Belanda yang berlayar di sekitar perairan Riau. Tindakannya menyerang dan merampas barang-barang dagangan yang dibawa oleh kapal-kapal dagang Inggeris dan Belanda itu telah menimbulkan kemarahan pihak Belanda dan Inggeris. Pihak Belanda dan Inggeris menganggap Batin Mina dan orang-orangnya sebagai lanun. Tetapi tindakan Batin Mina dan orang-orangnya tidak begitu berkesan untuk menghalang dua kuasa imperialis itu dari menguasai gugusan Kepulauan Melayu. Ini adalah kerana dua kuasa itu mempunyai kelengkapan senjata yang baik. Tindakan Batin Mina itu telah menyebabkan pihak Belanda dan Inggeris menyerang balas dan menyerang kubu-kubu yang digunakan oleh Batin Mina dan orang-orangnya. Batin Mina yang telah dianggap lanun oleh dua kuasa barat itu telah menjadi buruan pihak Belanda dan Inggeris. Batin Mina dan orang-orangnya telah lari dari buruan pihak Inggeris dan Belanda itu ke Timur Semenanjung. Kemudian membuka penempatan dan menetap di Teluk Dalam Pulau Perhentian Besar. Beliau dikatakan seorang yang terkenal kerana mempunyai ilmu kebatinan yang tinggi. Seorang pendekar yang terbilang serta mempunyai ilmu kebal. Beliau juga adalah seorang bomoh yang handal. Di Pulau Perhentian beliau dikenali sebagai Batin. Kehandalan Batin Mina sebagai bomoh memang terkenal kerana dikatakan telah berjaya mengubati penyakit sehingga sampai ke istana.Pada masa beliau menjadi batin di Pulau Perhentian, bekalan pakaian dan makanan tidak mencukupi untuk penduduk yang di bawah tanggungjawabnya. Langkah yang diambil oleh Batin Mina ialah dengan meminta bekalan makanan dan pakaian dari wakam atau tongkang besar Cina yang berlabuh di sekitar perairan Pulau Perhentian. Segala pemberian itu bolehlah dianggap sebagai cukai dan jaminan keselamatan kepada kapal-kapal dagang yang berlabuh. Tetapi ada di antara kapal-kapal dagang Cina yang berlabuh itu enggan memberikan apa yang diminta oleh Batin Mina. Tindakan pedagang itu menimbulkan kemarahan Batin Mina. Dengan menggunakan ilmu kebatinan yang ada padanya, beliau dikatakan telah bertindak menghalang pelayaran kapal-kapal dagang itu dengan membina beting-beting pasir di tengah laut. Oleh kerana adanya beting pasir itu, kapal-kapal tidak dapat meneruskan pelayaran dan terpaksa tunduk kepada Batin Mina. Tindakan Batin Mina itu telah menyebabkan kapal-kapal dagang yang berlindung di Pulau Perhentian membayar cukai kepada Batin Mina.
Panglima Dayak
Beliau adalah merupakan panglima kepada Batin Mina. Panglima Dayak bertindak sebagai pembantu kepada Batin Mina dari segi keselamatan penduduk Pulau Perhentian pada masa itu. Beliau tidak terus menjadi panglima kepada batin yang selepas Batin Mina. Mengikut cerita, beliau dikatakan ghaib selepas sahaja kematian Batin Mina. Mengikut cerita, jika ada orang yang tersesat di atas bukit Pulau Perhentian Besar akan terjumpa dengannya dan beliau akan membantu atau membawa ke satu tempat yang dinamakan Pinang Seribu. Dari cerita lisan yang diperkatakan, pernah terjadi orang yang tersesat di atas bukit Pulau Perhentian akan ditemui di tempat yang sama sahaja dengan mereka yang tersesat sebelumnya. Ini terjadi kerana mereka yang tersesat itu dikatakan telah dibawa oleh Panglima Dayak. Setelah mereka yang tersesat itu dibawa ke beberapa tempat dengan tidak disedari oleh mereka yang tersesat itu, kemudian ianya akan dihantar ke satu tempat yang dikenali dengan Pinang Seribu. Orang yang mencari akan menemui mereka yang tersesat itu di tempat yang sama setiap kali kejadian sesat ini berlaku. Panglima Dayak ini dikatakan masih ada lagi hingga sekarang ini. Wallahualam.


11:08 AM Edit This 0 Comments »

Kami Muhamad Aliff bin Adnan dan Muhamad Fakhrusy Syakirin bin Ahmad Nasuha sangat gembira kerana telah dapat mengikuti Bengkel Penghasilan Blog di Perpustakaan Awam Terengganu.Bengkel ini akan berlansung selama 4 hari bermula hari ini sehingga Khamis.

Kami dibimbing oleh Cikgu Zahron bin Mohd Khalid dan Cikgu Jefri bin Mat Yasin.

Kami berharap dapat menghasilkan laman blog yang terbaik dan menarik yang dapat dikongsi oleh semua.